} -->

Bolehkah Membaca Yasin Untuk Menunaikan Hajat

Soalan: 

Adakah terdapat hadis yang sahih bahawa fadilat Surah Yasin dapat menunaikan hajat seseorang?

Dijawab oleh:
Shahibus Samamah Dato Prof. Dr. MAZA

  • Surah Yasin adalah salah satu surah dalam al-Quran yang mulia. Namun, kebanyakan hadis-hadis mengenai keutamaan Surah Yasin adalah palsu dan sangat lemah. Walau bagaimanapun, terdapat juga hadis mengenai keutamaan Surah Yasin yang lemah secara ringan. Lemah secara ringan bermaksud ia boleh dibaca sebagai galakan (targhib) tanpa menyandarkannya secara langsung kepada Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, sesiapa yang membaca hadis-hadis ini di kalangan masyarakat, perlu mengetahui dan memaklumkan statusnya kepada ulama hadis.

  • Hadis yang menyatakan:

يس لِما قُرِئَتْ لَهُ

"Yasin itu (menunaikan hajat) apa yang dibaca untuknya" tidak disahkan dari Nabi S.A.W.. Hadis tersebut tiada sumber asal dan dihukum palsu oleh ulama hadis (lihat: Al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, 741. Beirut: Dar al-Kitab al-'Arabi / al-'Ajluni, Kasyf al-Khafa, m.s 388. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-'Arabi).

  • Namun, itu tidak menafikan bahawa sebagai salah satu Surah al-Quran, sudah pasti Surah Yasin mempunyai kebaikan dan pahala apabila seseorang membacanya. Membaca al-Quran, surah apa sekalipun, termasuk dalam amalan soleh dan amalan soleh boleh dijadikan perantara kemustajaban doa.

  • Malah, dalam kalangan para ulama seperti al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H), demikian juga al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) yang menyatakan hadis tersebut tiada sumber sahih, begitu juga al-'Ajluni (meninggal 1162H), dan lain-lain menyebut pengalaman mereka yang membaca Surah Yasin lalu menyaksikan kemustajaban doa. Al-Imam Ibn Kathir mengutip perkataan sebahagian ahli ilmu yang menyatakan bahawa Surah Yasin jika dibacakan kepada perkara yang sukar akan dimudahkan. Seakan bacaan Surah Yasin pada yang hampir mati menyebabkan turun rahmat dan barakah, serta dimudahkan keluarnya roh (lihat: Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, 11/343. Riyadh: Dar 'Alam al-Kutub). Bahkan dalam Kasyf al-Khafaa, al-'Ajluni menyebut perkataan-perkataan salafussoleh yang mengaitkan surah ini dengan kemustajaban doa. Ini semua memberi isyarat kewujudan kelebihan surah tersebut.

  • Walaupun pengalaman keberkesanan (mujarrabah) itu semua bukanlah hujah dan bukan termasuk dalam kaedah penguat kepada hadis yang lemah, namun tidaklah salah seseorang membaca surah tertentu dalam al-Quran seperti Surah Yasin atau surah lainnya lalu memohon hajat daripada Allah selepas membacanya. Ini kerana membaca al-Quran dan kemudian memohon doa kepada Allah bukanlah bid'ah kerana terdapat dalil dalam hal itu. Apa yang penting ialah kita tidak menetapkan kaifiat khusus atas nama syariat seperti cara yang khusus dan waktu yang khusus. Jika seseorang membaca Surah Yasin atas pilihan dirinya pada bila-bila masa yang dia pilih dengan mengharapkan kemustajaban doa tanpa mengaitkannya sebagai satu ketetapan agama, maka hal itu dibolehkan. Bahkan, hal itu diriwayatkan pernah diamalkan oleh salafussoleh.


https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/838-bolehkah-membaca-yasin-dan-meminta-hajat


About

  رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌ

Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

TRENDING