} -->

APA ITU TAHQIQ KITAB

Oleh:
Dr. Kamilin Jamilin 
AJK Fatwa Kerajaan Negeri Perlis


Antara saat yang paling indah buat saya ketika belajar di Riyadh dahulu ialah semasa saya terlibat dengan projek tahqiq sebuah kitab karya Ibn Hajar al-'Asqalaniy bersama beberapa sahabat seangkatan lain di bawah salah satu subjek pengajian seliaan guru kami al-fadhil Prof. Dr. 'Aliy bin 'Abdullah al-Sayyah.

Tahqiq tersebut berdasarkan 5 manuskrip berbeza bagi kitab tersebut yang sebahagiannya sukar difahami tulisannya, dan ia perlu diselesaikan dalam tempoh setahun.

Saya percaya barangsiapa yang pernah melakukan kerja semakan manuskrip (tahqiq al-makhtutat) pasti akan mengalami serta merasai sendiri disiplin seni mentahqiq yang sangat rumit, terutamanya yang melibatkan kitab warisan para ilmuwan terdahulu.

Bukannya seperti yang disangka sebahagian pihak: Tahqiq/semakan kitab merupakan kerja mudah dan boleh tahqiq apa sahaja kitab oleh sesiapa sahaja!

TAHQIQ (SEMAKAN) & DIRASAH (KAJIAN)

Asas proses tahqiq kitab bertujuan memelihara keaslian teks yang merupakan amanah bagi setiap penyemak (muhaqqiq). 

Seorang muhaqqiq perlu memastikan teksnya asli seperti catatan asal walaupun bercanggah dengan pandangan dan kecenderungan peribadi muhaqqiq tersebut.

Namun sebahagian jenis tahqiq perlu melibatkan kajian tambahan atau "dirasah" (study), iaitu kajian ilmiah terhadap teks yang disabitkan dalam proses tahqiq. 

Misalnya: Mencatat pada nota kaki maklumat berkaitan status hadis, definisi perkataan, huraian fakta, kajian perawi dan segala yang berkhidmat terhadap teks kitab tersebut dari sudut ilmiah.


KUALITI TAHQIQ

Menyemak mana-mana manuskrip memerlukan tahap ketelitian serta kefahaman yang tinggi, bukan sekadar menyalinnya sahaja, kerana jika demikian erti tahqiq manuskrip, mana-mana pihak tanpa kemahiran tinggi boleh melakukannya.

Kita boleh dapati banyak cetakan yang teruk kualitinya hanya kerana semata-mata bergantung pada salinan manuskrip yang penuh dengan penyelewengan, kesilapan dan sebagainya, terutamanya pada cetakan syarikat yang hanya mementingkan keuntungan semata.

Justeru tidak semua kitab yang dicetak atau ditahqiq itu bagus.

Perkara ini sememangnya diketahui mereka yang bergelumang dalam dunia akedemik khususnya dalam semakan manuskrip.

Penuntut ilmu yang baik bukan “merembat” apa sahaja cetakan kitab di hadapannya, namun memastikan terlebih dahulu kualiti semakan dan cetakan kitab tersebut supaya kelak tidak terjebak dengan kekaburan, kesilapan, dan penyelewengan.

Seorang pentahqiq yang baik perlu memahami pelbagai jenis tulisan, memerlukan tahap ilmiah yang tinggi bagi memastikan ketulenan naskah serta membezakan tulisan yang asli dan yang ditokok tambah.

Setiap semakan perlu mengambil kira aspek berikut:

a-    Judul kitab.

b-    Nama pengarang.

c-    Ketulenan sandaran kitab tersebut kepada pengarangnya.

d-    Teks.


BUKAN SEMUA MANUSKRIP SESUAI UNTUK DITAHQIQ! 

Justeru sangat perlu untuk memastikan nilai ilmiah pada suatu manuskrip dan statusnya sebelum dikaji!

Langkah-langkah berikut merupakan sangat penting bagi mengkaji sebarang manuskrip:

-    Mencari serta menghimpunkan naskah-naskah manuskrip berkaitan (kitab yang ingin dikaji).

Jadi perlu diketahui berapa bilangannya, lokasi naskah tersebut yang barangkali berada di benua lain yang sangat jauh.

-    Mengumpulkan seberapa banyak naskah manuskrip yang mampu.

Tidak wajar hanya bergantung pada satu atau dua manuskrip melainkan ianya memang sangat bernilai dan layak untuk dijadikan sumber kajian asli.

Kadangkala tulisan sebahagian naskah sangat sukar dibaca kerana tulisan yang buruk, atau kualti naskah yang telah terhakis.

-    Membahagikan semua naskah mengikut kelompok, kerana barangkali walaupun ada 10 jenis naskah pun, tapi naskah asal yang layak dijadikan rujukan asas cuma tiga sahaja.

-    Menyusun setiap naskah mengikut turutan yang lebih penting.

1st: Naskah paling penting ialah yang ditulis sendiri oleh pengarang. 

2nd: Naskah yang pernah dibaca pengarang atau dibacakan kepadanya.

3rd: Naskah yang pernah disbanding dengan naskah penulis.

4th: Naskah yang ditulis pada zaman pengarang sama ada yang disahkan ada hubungan penyalinnya dengan pengarang atau tiada.

5th: Naskah yang ditulis selepas zaman pengarang.

Susunan ini adalah panduan umum yang boleh jadi tidak tepat kerana barangkali naskah yang ditulis awal buruk kualitinya, atau banyak kesilapan, atau wujud banyak komentar-komentar sampingan yang menjejaskan keaslian.

-    Menyiasat semua naskah-naskah terbabit, kerana berkemungkinan tarikh-tarikh yang tercatat itu palsu semata, atau penyalinnya tersilap.

Maka perlu dipastikan pelbagai aspek: Material, jenis dakwat, bentuk tulisan, yang membantu mengesan zaman penyalinan/penulisan naskah tersebut.

Selain itu meneliti gaya salinan dan keserasian tulisan supaya tidak bercampur baur, kategori naskah samada ianya berbentuk ijazah, atau pemilikan, atau bacaan dan sebagainya.

Nama penyalin juga penting demi mengetahui nilai naskah tersebut.

Banyak lagi aspek-aspek kajian manuskrip yang perlu diambil kira yang panjang untuk dicoretkan.

Memadai jika kita tahu akan qimah (nilai) sesuatu tahqiq ‘ilmiy (semakan akedemik).

Kerja mentahqiq ini merupakan amanah, bukan sekadar kerja mazhab yang bersandar kepada sikap kepuakan yang tidak ilmiah!


About

  رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌ

Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

TRENDING